SUT peralatan perlindungan diri (PPE).
SUT peralatan perlindungan diri (PPE).
Rosli Ilham

KEMAHIRAN menjahit banduan di Penjara Marang akan digunakan untuk menghasilkan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas kesihatan di Terengganu.

Pengarah Penjara Terengganu Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah berkata, pihaknya sedang menunggu bekalan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu JKNT sebelum penghasilan PPE dilaksanakan.

Menurutnya, ramai dalam kalangan banduan Penjara Marang mempunyai kemahiran menjahit dan kesemua uniform kakitangan serta pakaian banduan dijahit sendiri oleh mereka.

“Esok kita akan berbincang dengan pihak JKNT untuk mendapatkan bahan mentah dan contoh peralatan itu sebelum banduan kita memulakan kerja menjahit.

“Kita ada ramai banduan yang pandai menjahit termasuk 24 mereka yang pakar dalam kerja jahitan ini.

“Kita ada lebih 20 mesin jahit, jadi saya rasa kita dapat menghasilkan PPE itu dengan kuantiti yang banyak dan cepat,” katanya ketika meninjau proses nyah cemar di Penjara Koreksional Dungun di Bukit Besi, dungun hari ini.

Seramai 50 anggota bomba termasuk kakitangan Pejabat Kesihatan Dungun, Jabatan Kimia dan Jabatan Penjara terbabit dalam proses nyah cemar itu.

Turut meninjau proses itu ialah Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid, Pengarah Jabatan Kimia Terengganu Mazlan Yusof dan Timbalan Pengarah Penjara Koreksional Dungun Penguasa Penjara Sugumaran Sukandaram.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, selain Penjara Koreksional Dungun, Penjara Marang turut selesai menjalani proses nyah cemar.

“Walaupun 2,846 banduan di Penjara Marang dan 651 banduan di Penjara Koreksional Dungun tidak merekodkan kes, namun proses itu tetapi dilakukan bagi memastikan keseluruhan kawasan kedua-dua penjara itu bebas pandemik Covid-19.

“Kita bimbang sekiranya seorang banduan dijangkiti, ia senang merebak pasal itu langkah pencegahan awal termasuk proses nyah cemar perlu dijalankan segera, “katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:38 PM