GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Safuri Kamarudin


POLIS menahan empat individu termasuk dua wanita selepas mereka melarikan wang tunai hampir RM20,000 dalam kereta di sebuah stesen minyak di Kampung Ketemba Luar, Kupang, Baling, Isnin lalu.

Dalam kejadian pada 8.55 pagi, suspek dikatakan memecah cermin kereta milik pengusaha stesen minyak terbabit.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa mendakwa cermin penumpang hadapan keretanya dipecahkan sebelum hasil jualan stesen minyak hampir RM20,000 hilang.

“Selain wang tunai, beg duit pengadu yang mengandungi dua kad kredit dan lain-lain dokumen serta kunci stesen minyak turut hilang.

“Selepas membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup di premis itu mendapati sebuah kereta Toyota Vios hitam dinaiki dua lelaki dan dua wanita dalam keadaan mencurigakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Basri berkata, berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan suspek di Taman Ria, Padang Serai, pada 6.30 petang semalam dan merampas beg berisi duit serta sebuah kereta.

Menurutnya, suspek berusia 21 hingga 26 tahun dalam soal siasat mengaku memecahkan cermin kereta mangsa dan mengambil satu beg galas warna hitam.

Katanya, pemeriksaan awal juga mendapati dua suspek lelaki mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan curi motosikal.

“Mereka direman selama enam hari sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 2:21 PM