Nor Amalina Alias

SEBUAH pasar raya tampil kreatif mewujudkan terowong nyah cemar buatan sendiri bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pelanggannya.

Terowong yang dinamakan ‘spa sanitizer’ itu juga menjadikan pasar raya di Kok Lanas, Kota Bharu berkenaan sebagai yang pertama di Kelantan yang memperkenalkan kaedah pencegahan semburan.

Pemiliknya, Ahmad Deraman, 53, berkata, terowong pembasmi kuman itu mula digunakan hari ini sehingga berakhir pandemik Covid-19.

Menurutnya, idea itu muncul selepas khuatir melihat pasar rayanya yang dikunjungi 300 hingga 400 pelanggan setiap hari.

“Kita sudah mengikut peraturan seperti menyediakan tempat basuh tangan dan penjarakan sosial kepada pelanggan tetapi dengan adanya semburan begini, kita berasa lebih selamat untuk elak jangkitan Covid-19.

“Sebelum masuk ke pasar raya, setiap pelanggan perlu masuk melaluinya yang berbentuk kotak ini dan ‘disembur’ cecair pembasmi kuman dan antiseptik selama tujuh saat, mereka perlu berpusing depan dan belakang bagi memastikan semburan semaksima mungkin mengenai bahagian kepala dan seluruh tubuh dan badan,” katanya ketika ditemui di pasar raya itu hari ini.

Ahmad berkata, alat itu dicipta lima sahabat yang berkemahiran dalam bidang teknikal bermodalkan RM500 dengan penggunaan bahan kitar semula seperti paip PVC, jaring perangkap kalis air, penyembur air dan pam.

Katanya, alat itu diletakkan di hadapan pintu masuk kedai dan setiap pelanggan wajib melaluinya sebelum membuat pembelian.

“Ini adalah inisiatif kami bagi mengurangkan risiko jangkitan khususnya di tempat awam dan meyakinkan pelanggan tahap keselamatan mereka terjamin ketika membeli-belah,” katanya yang mengusahakan pasar raya itu sejak 20 tahun lalu.

Ketua projek pembuatan terowong nyah cemar itu, Wan Zuhari Wan Ismail, 41, berkata, reka bentuk dan fungsi terowong berkenaan adalah inovasinya sendiri dan empat rakan sebagai sukarelawan sebuah institusi pengajian awam di negeri itu.

Menurutnya, dia dan rakannya, Mat Yassin Ismail, 51; Mohd Azri Abdul Ghani, 47; Fathuddin Aizat Che Mohd Ariff, 35, dan Raja Rozake Raja Daud, 39, mengambil masa dua hari untuk menyiapkan alat berkenaan.

“Bagi alat ini, kita sediakan satu tong mengandungi 20 liter campuran air bersih dan air pembasmi kuman dengan nisbah 1:3,” katanya.

Beliau berkata, untuk satu tong dianggarkan mampu bertahan sehingga sejam dan membuat semburan sekurang-kurangnya untuk 540 orang.

Katanya, alat itu beroperasi secara manual dan memerlukan seorang pekerja menekan suis penyembur dan menambah cecair pembasmi kuman bergantung pada kehadiran pelanggan ke pasar raya itu yang beroperasi dari 9 pagi hingga 7 petang.

Sementara itu, salah seorang pelanggan, Irphan Abdul Aziz berkata, dia memuji usaha pencegahan Covid-19 yang dilakukan pasar raya berkenaan.

“Walaupun kes Covid-19 di negeri ini tak banyak tetapi dengan langkah pencegahan begini kita dapat menangani wabak dengan lebih cepat, malah saya sarankan lebih banyak pasar raya dan kawasan tumpuan ramai mengambil inisiatif sama supaya orang ramai berasa lebih selamat,” katanya.

AHMAD Deraman (kiri) menyaksikan terowong nyahkuman merupakan pasar raya pertama di Kelantan yang menyediakan kemudahan tersebut dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Deraman (kiri) menyaksikan terowong nyahkuman merupakan pasar raya pertama di Kelantan yang menyediakan kemudahan tersebut dalam usaha membantu kerajaan menangani penularan wabak Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 3:26 PM