KLANG 02 APRIL 2020. Anggota keselamatan terdiri daripada PDRM dan Angkatan Tentera membuat sekatan jalan raya berdekatan kampung Sungai Kandis sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 mac yang lepas dalam usaha kerajaan membendung Wabak Covid-19 dari terus merebak. NSTP/OSMAN ADNAN
KLANG 02 APRIL 2020. Anggota keselamatan terdiri daripada PDRM dan Angkatan Tentera membuat sekatan jalan raya berdekatan kampung Sungai Kandis sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 mac yang lepas dalam usaha kerajaan membendung Wabak Covid-19 dari terus merebak. NSTP/OSMAN ADNAN
Mahaizura Abd Malik


MAJORITI pengguna Facebook (FB) yang menyertai undian di laman rasmi Harian Metro menyokong tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir Selasa depan dilanjutkan.

Setakat 3 petang tadi, sebanyak 92 peratus pengguna yang menyertai undian Wajar atau Tidak Wajar PKP dilanjutkan bersetuju, manakala bakinya lapan peratus memilih tidak wajar.

Undian yang mula dimuat naik di FB akhbar ini disertai lebih 151,000 responden serta meraih lebih 8,000 tanda suka.

Pemilik akaun FB menggunakan nama Ainul Fajrin Al-Baity menyokong PKP dilanjutkan demi kebaikan semua.

“Wajar diteruskan kerana masih ramai lagi bebas keluar sesuka hati tanpa tujuan atau kepentingan.

“Kes pun masih banyak. Saya bukan dari golongan senang, tapi saya sokong PKP ini dilanjutkan demi kebaikan semua kerana nyawa tiada galang ganti,” tulisnya dalam ruangan komen.

Pendapat sama dikongsikan seorang guru Ana Mashira yang bimbangkan keselamatan murid sekolah jika sekolah dibuka.

“Kalau sekolah buka, mustahil murid sekolah faham jarak sosial, sentiasa pakai sanitizer (cecair pembasmi kuman) dan mask (penutup hidung dan mulut).

“Kelas pula muat-muat saja, akhirnya cikgu duduk sambil perhatikan jarak sosial murid kalau kes sudah berkurangan tak apa.

“Kita khuatir tiga kategori kes positif yang tiada simptom dan melalui (menjangkiti) tiga generasi,” katanya.

Seorang lagi pengguna FB, Hayati Ramli turut bersetuju PKP dilanjutkan walaupun sedar dirinya kehilangan pendapatan sepanjang tempoh itu.

“Walaupun saya hilang 100 peratus pendapatan, saya mahu Malaysia zero Covid-19.

“(Biar) sakit sekarang bersenang lenang kemudian sekali gus akan bekerja dengan semangat baru,” katanya.

Namun, ada juga segelintir warganet yang merayu pertimbangan kelonggaran buat mereka yang terperangkap supaya dapat kembali ke pangkuan keluarga sebelum PKP ketiga dimulakan.

“Wajar, tapi boleh tak beri pelepasan kejap hendak ambil anak di kampung.

“Sudah sebulan tak tengok anak, anak saya autisme,” kata Aina Mohamad Ismail.

Mohd Azan Sahak yang bersetuju PKP dilanjutkan turut menyuarakan perkara sama.

“Wajar disambung tetapi sebelum itu berilah tempoh bertenang untuk mereka yang terperangkap sebelum PKP satu lagi supaya pulang ke kediaman masing-masing.

“Sudah sebulan menumpang rumah orang,” tulisnya.

Berbeza pula dengan Mohd Heri Efendi, dia tidak bersetuju tempoh PKP dilanjutkan kerana keberkesanannya kurang impak.

“Tidak wajar sebab sudah hampir sebulan PKP diterapkan macam kurang berkesan.

“Ada baiknya terapkan sistem baru atau buat saringan ujian dalam skala besar,” katanya.

Sementara itu, Fauzan Iz’aan pula menganggap lapan peratus mereka yang mengundi tidak wajar adalah golongan terjejas dan dalam kesusahan.

“Mesti mereka sangat terdesak untuk turun bekerja.

“Semoga urusan kehidupan kalian dipermudahkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:04 PM