MENARA TM. FOTO arkib NSTP
MENARA TM. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


SEMUA lapan kes positif Covid-19 membabitkan kakitangan Telekom Malaysia Berhad (TM) sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pada 22 Mac lalu, sebanyak tiga kes dilaporkan membabitkan pekerjanya sebelum disusuli lima lagi kes di beberapa bangunan milik TM iaitu di Menara TM, TM Annexe 1, TM Annexe 2, Menara TM ONE di Damansara, TMpoint di Muzium Telekom, TM Jalan Pusara di Terengganu dan TM Kulim di Kedah.

Beliau berkata, berita penyembuhan semua kakitangannya itu adalah satu perkembangan yang baik serta pihaknya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pasukan perubatan yang bekerja tanpa henti bagi merawat pesakit Covid-19 di negara ini.

"Kami akan terus kekal waspada dalam usaha kami untuk menghentikan penularan virus Covid-19 ini kerana kebajikan pekerja dan pihak-pihak berkepentingan sememangnya menjadi keutamaan kami. Pasukan Tindak Balas Covid-19 kami turut bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan protokol keselamatan yang ketat di bangunan milik TM.

"Sejak penularan Covid-19, TM sudah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan di semua bahagian operasi, antara tindakan yang diambil oleh TM termasuklah mewajibkan kesemua warga TM yang berkunjung ke luar negara atau mempunyai ahli keluarga yang ke luar negara serta mempunyai mempunyai kontak rapat untuk segera menghantar Borang Pengisytiharan Perjalanan.

“Ia bagi tujuan pengesanan kontak dan bersedia untuk mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan sebagai persiapan menghadapi fasa seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tertakluk kepada pengumuman daripada pihak kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Noor Kamarul berkata, sejajar dengan PKP, sejak 18 Mac lalu pihaknya turut melaksanakan Aturan Kerja Khas untuk pekerjanya yang bekerja di sektor kritikal di seluruh negara dan mereka diberi pilihan antara waktu kerja anjal atau pembahagian kumpulan bertugas.

"Bagi pekerja yang tidak berada di sektor kritikal pula, mereka digalakkan untuk bekerja dari rumah dengan memanfaatkan saluran digital dan perisian produktiviti atas talian yang ada.

"Berkenaan dengan kesinambungan perkhidmatan, saya memberi jaminan bahawa setiap pekerja akan terus bekerja keras dengan mematuhi garis panduan dan sekatan yang dilaksanakan oleh kerajaan semasa tempoh PKP.

"Sebagai penyedia perkhidmatan penting negara, kami kekal komited untuk memberikan perkhidmatan yang lancar kepada rakyat Malaysia di seluruh negara dan akan terus menyesuaikan operasi harian bagi memastikan keselamatan pekerja kami tanpa melanggar panduan oleh kerajaan.

"TM sentiasa ada untuk membantu masyarakat supaya kekal di rumah, kekal berhubung, kekal berhibur, kekal bermaklumat. Pasukan sokongan kami sentiasa bersedia dan pelanggan boleh menghubungi kami jika mempunyai sebarang pertanyaan dan memerlukan bantuan melalui pelbagai saluran khidmat pelanggan kami.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 4:24 PM