Nor Farhani Che Ad


GADIS yang hilang sejak Isnin lalu di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang, Sungai Petani berjaya ditemui di belakang sebuah rumah kosong di kawasan perumahan sama, petang tadi.

Siti Nazira Mohd Nazre, 23, berkata adiknya, Nor Aleeya Natasha, 15, ditemui oleh penduduk bersama sekumpulan individu pada 3 petang.

Menurutnya, dia dihubungi seorang wanita memaklumkan ternampak Natasha di belakang sebuah rumah kosong.

“Saya dan keluarga bergegas ke tempat berkenaan, dan ketika kami tiba, lelaki berkenaan melarikan diri.

“Kami segera membawa Natasha ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk memaklumkan penemuannya,” katanya.

Katanya, mereka juga akan membawa adiknya ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk pemeriksaan kesihatan.

“Setakat ini, Natasha hanya mengatakan dia dikurung di dalam rumah kosong itu sebelum dibawa keluar oleh beberapa lelaki tengah hari tadi.

“Apa pun kami bersyukur dia dapat ditemui dengan selamat. Kami serahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Portal berita Harian Metro hari ini melaporkan pelajar tingkatan tiga itu dilaporkan hilang pada Isnin lalu ketika keluar ke kedai runcit untuk membeli paracetamol.

Berita berkaitan

  • Remaja hilang ketika beli paracetamol
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2020 @ 8:00 PM