GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah
GAMBAR hiasan. FOTO Asyraf Hamzah


KERAJAAN negeri membenarkan kedai perkakasan (hardware) beroperasi dua kali seminggu sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong berkata, keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre kelmarin.

“Kedai perkakasan hanya boleh menjalankan operasi pada hari Selasa dan Khamis bermula jam 9 pagi hingga 3 petang.

“Bagaimanapun, hanya tiga kedai perkakasan dibenar beroperasi perniagaan bagi setiap daerah di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Keningau, Lahad Datu, Penampang, Tuaran, Beaufort, Ranau, Papar, Sipitang, Tenom dan Kudat.

“Manakala daerah lain dua buah sahaja boleh beroperasi,” katanya menerusi kenyataan media di Kota Kinabalu, hari ini.

Dalam pada itu, Safar berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) bakal menentukan kedai perkakasan rumah yang dibenarkan beroperasi di daerah masing-masing.

Menurutnya, PBT bakal menguatkuasakan pematuhan Tatacara Operasi Perniagaan seperti penjarakan sosial (social distancing) satu meter, menghadkan jumlah pelanggan pada satu masa, tempoh masa berada di premis serta penetapan satu pintu atau laluan masuk dan keluar.

“Selain itu, pengimbasan suhu badan dan pemakaian topeng muka serta penggunaan cecair basmi kuman turut diwajibkan kepada pelanggan dan pekerja,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 10:38 AM