Nurul Hidayah Bahaudin


KERAJAAN mengumumkan beberapa sektor ekonomi tambahan beroperasi secara berfasa dengan garis panduan penjagaan kesihatan dan kawalan pergerakan ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antara sektor dibenarkan beroperasi adalah industri automotif, industri mesin dan peralatan dan industri aeroangkasa.

“Kerajaan juga membenarkan projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan termasuk kerja terowong, penyelenggaraan, cerun dan kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak.

“Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan, perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional berdaftar, perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik serta kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan juga dibenarkan beroperasi.

“Selain itu, perkhidmatan gunting rambut asas bagi gunting sahaja dan perkhidmatan dobi untuk perkhidmatan penuh dan bukannya layan diri dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, syarikat dalam sektor tambahan yang disenaraikan boleh membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula 13 April ini dari jam 9 pagi.

Katanya, semua permohonan mesti dibuat secara dalam talian di laman sesawang MITI, www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

“Pihak syarikat dalam sektor yang dibenarkan beroperasi wajib mematuhi

syarat prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Selain pematuhan kepada syarat dan garis panduan yang diperketatkan, kebenaran beroperasi juga tertakluk kepada pematuhan syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan oleh agensi penguatkuasaan lain yang berkaitan berkaitan dari semasa ke semasa.

“Kegagalan syarikat berbuat demikian boleh mengakibatkan kebenaran beroperasi dibatalkan serta-merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta semasa,” katanya.

Beliau berkata, MITI memperhalusi sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi berdasarkan beberapa pertimbangan iaitu tahap kepentingannya dalam rantaian bekalan global dan eksport negara.

“Kami juga melihat kepada ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah yang tinggi, impak ke atas kelangsungan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan.

“Selain itu, kami juga mengambil pertimbangan dari segi jumlah tenaga kerja yang terbabit,” katanya.

Menurutnya, langkah membenarkan beberapa sektor tambahan beroperasi adalah untuk menjamin kelangsungan ekonomi negara.

“Ia sekali gus mengelakkan kadar kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada keperluan asas dan produk kritikal sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 April 2020 @ 9:12 PM
PERKHIDMATAN gunting rambut dibenarkan.
PERKHIDMATAN gunting rambut dibenarkan.