AHMAD FAIZAL AZUMU
AHMAD FAIZAL AZUMU
BERNAMA

PENAMATAN perkhidmatan jawatan pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh Perak adalah selaras dengan peralihan pentadbiran kerajaan negeri kerana ia adalah lantikan politik, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau menegaskan mengikut kelaziman, mana-mana lantikan politik perlu melepaskan jawatan mereka jika berlaku peralihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan.

“Ia tidak harus dipersoalkan. Mereka sepatutnya letak jawatan tanpa perlu kita (kerajaan negeri) lepaskan (tamatkan perkhidmatan mereka),” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan RM111,000 daripada Persatuan Pelabur-Pelabur Taipei di Perak dan RM50,000 daripada Ladang Moccis Sdn Bhd bagi Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Ahmad Faizal mengulas kenyataan beberapa wakil rakyat pembangkang yang mengkritik penamatan perkhidmatan MPKK ketika negara berdepan wabak Covid-19.

Peralihan pentadbiran kerajaan negeri Perak berlaku selepas Perikatan Nasional yang dianggotai Barisan Nasional yang terdiri daripada UMNO dan PAS serta Bersatu setuju membentuk kerajaan setelah mendapat sokongan 32 daripada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri. Sebelum itu, Perak dipimpin Pakatan Harapan.

Ahmad Faizal berkata, semua pengerusi MPKK yang akan tamat perkhidmatan berkuat kuasa pada akhir April ini sewajarnya terus membantu proses menyampaikan bantuan kepada rakyat dalam menghadapi penularan wabak Covid-19.

“Sewaktu penularan Covid-19 ini, perlu terus bagi perkhidmatan tidak kira MPKK atau bukan. Perikatan Nasional berpandangan sesiapa juga daripada parti mana, pertubuhan bukan kerajaan ...kalau bagi maklumat mengenai rakyat yang perlukan bantuan, kerajaan akan bagi bantuan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata, bagi membantu pengerusi MPKK yang menghadapi kesukaran ketika penularan Covid-19 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan negeri telah memberikan elaun khas sekali bayar sebanyak RM500 kepada mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 3:44 PM