Balqis Jazimah Zahari


PERAK akan melaksanakan konsep bazar Ramadan secara pandu lalu atas talian yang dipanggil sebagai ‘S.M.A.R.T [email protected]’ bermula pada 29 April sebaik tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia adalah alternatif kerajaan negeri untuk memberi ruang kemudahan kepada peniaga namun mengambil kira aspek pematuhan PKP bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya tempoh PKP dipanjangkan kerajaan negeri akan mengambil pendekatan untuk tidak mengadakan S.M.A.R.T [email protected] atau apa-apa bazar Ramadan di negeri ini.

“Kita mengambil kira semangat pelaksanaan PKP yang perlu mengamalkan penjarakan sosial untuk mengelak perkumpulan orang ramai dan juga mengambil pandangan pelaksanaan bazar Ramadan secara tradisional adalah tidak sesuai.

“Justeru kerajaan negeri mempertimbangkan satu kaedah alternatif bagi bazar Ramadan iaitu secara pandu lalu atas talian, dipanggil sebagai S.M.A.R.T [email protected],” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan Perak hari ini.

Nolee Ashilin berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengenalpasti lokasi yang difikirkan selamat dan boleh dikawal untuk memastikan kurang risiko jangkitan Covid-19.

“Kita bercadang untuk mengadakan di daerah, namun bukan semua daerah kerana kita terpaksa memilih lokasi yang dikirakan selamat yang boleh dikawal oleh pihak PBT secara menyeluruh untuk memastikan kita dapat mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Beliau berkata, satu penetapan menu bersesuaian dibincangkan dengan pihak peniaga supaya dapat disediakan lebih awal di premis atau kediaman dan penjualan di tapak hanyalah menu yang siap dibungkus.

Nolee Ashilin berkata, setakat ini terdapat kira-kira 40 lokasi seluruh negeri yang dikenal pasti membabitkan lebih 1,000 peniaga.

“Kita akan memastikan beberapa perkara diberikan penekanan iaitu pengambilan suhu badan peniaga dan pengunjung, kebersihan yang ketat seperti mengambil suntikan Typhoid, pemakaian penutup hidung dan mulut, tutup kepala, pemakaian apron serta mengehadkan jumlah kenderaan pada satu-satu masa di dalam kawasan tapak,” katanya sambil memaklumkan waktu operasi hanya terhad bermula 3 hingga 6 petang.

Beliau berkata, pada masa yang sama kerajaan negeri melalui bantuan Digital Perak menyediakan satu e-Platform yang menggabungkan semua peniaga yang berdaftar dengan PBT seluruh negeri yang boleh digunakan bermula 1 Ramadan ini bagi kemudahan mempromosikan produk.

“Selain itu, pihak kerajaan tempatan melalui PBT juga akan menggalakkan satu lagi kaedah iaitu restoran sekarang ini yang diberhentikan beroperasi (ketika PKP) akan mengadakan kolobrasi dengan peniaga tempatan untuk menempatkan produk mereka di restoran yang diberikan kebenaran untuk beroperasi,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 9:28 PM
GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan