ABD Ghafaar (tiga kanan), Rahmad (kanan) dan Zainal (empat kanan) bersama peniaga di Pasar Besar MBMB. FOTO Iqmal Haqim Rosman
ABD Ghafaar (tiga kanan), Rahmad (kanan) dan Zainal (empat kanan) bersama peniaga di Pasar Besar MBMB. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


PROJEK pembinaan bangunan baharu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Klebang, di sini yang dihentikan pada Disember 2018 akan diteruskan semula.

Ia disahkan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan, hari ini.

Beliau berkata, projek yang menelan kos RM140 juta itu akan ditender semula tidak lama lagi bagi sebelum kerja pembinaan dimulakan.

“Kerajaan negeri bersetuju untuk membina semula kerana kita sudah mengeluarkan modal yang banyak sebelum ini dan sudah pasti kita mahukan pulangan menerusi pengoperasian bangunan itu kelak.

“Kita sudah ada peruntukan sendiri dan diharap ia dapat direalisasikan,” katanya selepas meninjau penggunaan fasiliti alat nyah cemar yang dikenali sebagai Mesin Spray Disinfeksi Automatik (ADST) di Pasar Awam MBMB di Bachang, Melaka, hari ini.

Turut hadir, EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Zainal Abu.

Projek pembinaan bangunan baharu MBMB setinggi tujuh tingkat di atas kawasan seluas enam hektar itu sepatutnya siap pada penghujung 2018.

Bagaimanapun, ia dibatalkan oleh kerajaan negeri pada Disember 2018 dengan alasan kos terlalu tinggi.

Idea pembangunan itu dicetuskan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob termasuk dari segi reka bentuknya, selain bakal merancakkan lagi pembangunan terancang pesisir pantai di Klebang.

Sementara itu, Abd Ghafaar berkata, mesin nyah cemar yang dibangubkan oleh MBMB dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) akan diperluaskan lagi di dua lagi pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan mesin berkenaan diletakkan di kawasan tumpuan ramai seperti pasar awam atau stesen bas.

“Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) perlu memikirkan kaedah untuk membangunkan mesin ini kerana kos tidak mahal iaitu sekitar RM6,000.

“Diharap, menerusi cara itu akan dapat memutuskan rantaian wabak COVID-19 dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 4:04 PM