FOTO tular menunjukkan pelancong berkenaan.
FOTO tular menunjukkan pelancong berkenaan.
Roselan Ab Malek


SEORANG pelancong Rusia tular di media sosial selepas meminta bantuan orang awam kerana kelaparan di

hadapan sebuah restoran makanan segera di Temerloh, semalam.

Lelaki berusia 42 tahun itu yang berasal dari Moscow dilihat berlegar-legar di hadapan Pasaraya TMJ Temerloh, jam 4.30 petang.

Dia juga memegang kertas bertulis ‘I can’t go home and have no money I need a food’ (saya tak boleh pulang kerana tiada wang, saya perlukan makanan).

Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, selepas menerima aduan, pihaknya bergegas ke lokasi dan menemubual warga asing berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati lelaki itu adalah jurutera kargo dari Rusia dan dipercayai masuk ke Malaysia pada 17 Mac lalu melalui sempadan Thailand-Malaysia melalui Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, lelaki berkenaan pada mulanya berada di Kuala Lumpur beberapa hari, sebelum ke Kuantan dan berjumpa dengan dua lagi rakan senegaranya.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diisytiharkan pada 18 April lalu, dia yang ketika itu berada di Kuantan berusaha untuk pulang segera ke negara asal, namun tiket penerbangannya dibatalkan.

“Dia gagal menghubungi dua rakannya itu dan kemudian menumpang sebuah lori untuk ke Kuala Lumpur, namun diturunkan di Temerloh, semalam,” katanya.

Mohd Yusri Othman berkata, setelah ditemubual, pihaknya membawa lelaki itu ke Klinik Kesihatan Tanjung Lalang untuk pemeriksaan kesihatan dan saringan Covid-19.

“Kita juga sudah menghubungi kedutaan Rusia di Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 10:13 AM