OTHMAN menunjukkan perangkap monyet di kebun cili padi baranya di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
OTHMAN menunjukkan perangkap monyet di kebun cili padi baranya di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR


TIDAK tahan dengan kerakusan puluhan monyet ‘menyerang’ dan merosakkan pokok cili padi bara, seorang usahawan tani berbelanja RM700 untuk memasang perangkap haiwan berkenaan.

Othman Sudin, 65, menempah perangkap monyet dihasilkan seorang tukang kimpal selepas anak pokok cili padi baru dipindahkan dari petak semaian ke dalam beg dirosakkan monyet dari ladang getah berhampiran kebun cilinya.

Katanya, haiwan itu tidak memakan cili berkenaan kerana ia amat pedas, tetapi suka mencabut anak pokok terbabit.

“Saya alami kerugian kerana anak pokok sudah berusia sebulan itu bernilai kira-kira RM1.50 sebatang.

“Haiwan itu memang pandai kerana dia tahu cili padi bara sangat pedas, jadi ia tidak makan, sebaliknya mencabut pokok masih kecil.

“Jika pokok itu sudah mencapai umur tiga bulan dan hasilnya sudah boleh disemai, ia tidak mampu mencabutnya,” katanya ketika ditemui di Jalan Ayer Molek, Kampung Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah, hari ini.

Othman mengusahakan penanaman cili padi bara dalam 2,000 beg poli sejak tiga tahun lalu dan tidak pernah menggunakan perangkap monyet sehinggalah ‘serangan’ monyet kian menjadi-jadi sejak hujung tahun lalu.

Menurutnya, pertambahan jumlah haiwan itu dipercayai berhijrah dari hutan ke ladang getah berhampiran kebunnya.

Katanya, untuk memerangkap monyet, dia meletakkan pisang dalam sangkar dan monyet yang masuk melalui corong atau saluran di bahagian atas sangkar, tidak mampu keluar semula.

“Sejak hujung tahun lalu, kadang-kadang ada hingga lima monyet terperangkap di dalam sangkar dan saya menghubungi kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk menangkapnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 3:50 PM