ROHAN PIKE
ROHAN PIKE
Skuad Khas Harian Metro


AGENSI Penguatkuasaan Undang-undang Antarabangsa dan Pasukan Bertindak Terhadap Tembakau Haram, Pasukan Sempadan Australia memuji usaha Malaysia mengukuhkan kawalan sempadan ketika pandemik Covid-19 sedang berleluasa.

Juruperunding agensi itu, Rohan Pike berkata, ini kerana arahan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bukan sahaja inisiatif bagi mengawal penularan virus melangkaui antara negara malah turut berpotensi menghentikan atau menurunkan perdagangan haram.

Sebagai juruperunding penguatkuasaan undang-undang, katanya, beliau percaya bahawa sempadan mudah lolos bukan sahaja mengancam keselamatan sesebuah negara dan kesihatan rakyat tetapi juga merosakkan ekonomi menerusi percambahan perdagangan haram.

“Pengumuman terbaharu Perdana Menteri Malaysia yang mahu mengukuhkan sempadan berikutan pandemik Covid-19 adalah dialu-alukan.

“Tepat apabila beliau berkata sempadan Malaysia dipenuhi dengan begitu banyak lorong tikus yang membolehkan pelawat haram atau tanpa dokumen dari negara luar menceroboh Malaysia dan berpotensi membawa virus Covid-19 bersama mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia adalah masa sesuai untuk memberikan tumpuan khusus semula kepada usaha mengetatkan sempadan Malaysia bagi mengelakkan pelawat dan produk yang tidak diingini memasuki negara.

Katanya, kajian Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) pada 2017 mendapati dagangan global dalam barangan tiruan dan cetak rompak dianggarkan menjana antara AUD$923 bilion (RM4 trilion) hingga AUD$1.13 trilion (RM4.9 trilion) setahun merangkumi perdagangan melangkau sempadan, perdagangan domestik dan cetak rompak digital.

“Baru-baru ini, laporan Advokasi Jenama dan Perdagangan Runcit (RTBA) menunjukkan bahawa perdagangan haram tembakau berterusan mengakibatkan kehilangan hasil yang besar kepada kerajaan dan perniagaan sah di rantau Asia Pasifik.

“Laporan RTBA berjudul Tembakau Haram di Rantau Asia Pasifik: Punca-punca dan Rumusan mendapati dari segi perolehan sahaja, jumlah keseluruhan kehilangan cukai di seluruh 19 pasaran rantau ini yang dipantau adalah melebihi USD5.8 bilion (RM25.3 bilion) pada 2017. Hampir 50 peratus daripadanya berlaku di dua pasaran sahaja iaitu Australia dan Malaysia!

“Begitu jelas, impak perdagangan haram tembakau sahaja sudah mengakibatkan kerugian besar kepada ekonomi dan berleluasanya masalah ini berpunca daripada keselamatan sempadan yang kurang efektif di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata, lebih 50 peratus rokok seludup di Malaysia masuk menerusi pelabuhan dan lorong tikus manakala ironinya di Australia lebih 40 peratus produk itu adalah didatangkan dari atau pemunggahan kapal menerusi Malaysia.

Malah, katanya, laporan berita terbaharu menunjukkan penyeludup menggunakan khidmat penghantar makanan atau e-hailing untuk mengedar rokok seludup semasa PKP disebabkan pengilang rokok yang sah tidak dibenarkan mengedar rokok.

“Ramai tidak tahu bahawa kebanyakan rokok seludup ini datang dari luar sempadan Malaysia. Jika keselamatan sempadan tidak diperketatkan, pertambahan rokok seludup akan menjadi begitu teguh, hingga menjadikan ia hampir mustahil untuk dibanteras. Ia akan merosakkan negara ini dari segi sosio-ekonomi.

“Kerugian kerajaan dari segi hasil cukai yang tidak dikutip akibat rokok seludup yang kini berada pada tahap RM5 bilion setahun, akan semakin bertambah,” katanya.

Beliau berkata, arahan Perdana Menteri kepada semua ketua agensi penguatkuasaan berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya mengetatkan keselamatan sempadan adalah bertepatan.

Rohan berkata, perhatian terhadap keselamatan sempadan hendaklah melebihi bukan sekadar untuk mengawal pandemik Covid-19 bagi memelihara nyawa tetapi juga perniagaan.

“Sebagai tambahan kepada menggerakkan agensi berkaitan, kerajaan Malaysia juga boleh melihat kepada aspek meningkatkan perkongsian perisikan rentas sempadan dan pemantauan bagi mengenal pasti dan menutup laluan tikus.

“Teknologi canggih seperti dron, pengimbas dan CCTV paling terkini juga boleh diguna pakai di kawasan yang disyaki menjadi laluan haram seumpamanya,” katanya.

Dalam perutusan khas pada 10 April lalu, Muhyiddin mengarahkan semua agensi keselamatan supaya memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara.

Ia bertujuan mengelak pendatang tanpa izin membolosi lorong tikus di sempadan negara, sekali gus memberi ruang membawa masuk Covid-19 ke dalam negara.

“Di sepanjang sempadan negara, ada lorong tikus yang digunakan warga asing untuk keluar dan masuk ke negara kita.

“Jadi saya mengarahkan Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera dan lain-lain agensi supaya memperketatkan kawalan di sepanjang sempadan negara,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:54 PM