KOK Seong (dua dari kanan) ketika meninjau SJR di Kilometer 0.5 Jalan Bahau - Juasseh. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
KOK Seong (dua dari kanan) ketika meninjau SJR di Kilometer 0.5 Jalan Bahau - Juasseh. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


BERIKUTAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) fasa tiga, dua laluan masuk utama ke bandar Bahau ditutup sepenuhnya bermula pagi esok.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan Teo Kok Seong berkata, penutupan jalan itu membabitkan Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Rompin dan di persimpangan lampu isyarat jalan pintas Tesco.

Katanya, penutupan jalan atas nasihat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol bagi memastikan pematuhan terhadap PKP berjalan lancar.

“Kita melihat berlaku kesesakan lalu-lintas sejak seminggu lalu apabila ramai yang masuk ke bandar ini sehingga menyebabkan ada pihak beranggapan tiada PKP di Bahau.

“Kita jangan pentingkan diri sendiri sebaliknya perlu ada perasaan belas kasihan terhadap petugas barisan hadapan yang bertugas di bawah panas terik matahari,” katanya pada sidang media penutupan jalan di Kilometer 0.5 Jalan Bahau-Juasseh, berhampiran Taman Sornam petang tadi.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Mohd Khairiel Mohd Arif, Pegawai Daerah Jempol, Syahrul Nizam Saleh dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL) Raja Norazli Raja Nordin.

Kok Seong berkata, pemeriksaan seratus peratus ke atas semua kenderaan akan dilaksanakan di sekatan jalan raya di Taman Sornam bagi mereka yang masuk ke bandar ini.

Sementara itu, Mohd Khairiel berkata, bagi penduduk yang mahu ke Bahau dari arah Bandar Seri Jempol perlu melalui jalan Serting Tengah ke Batu Kikir sebelum ke Bahau.

Katanya, orang ramai dari arah Rompin yang mahu ke Bahau pula boleh menggunakan jalan Bahau-Dangi (kilang simen) dan sebaliknya.

“Laluan dari arah Bandar Seri Jempol ke Rompin atau sebaliknya masih boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kita hanya menutup dua laluan saja yang bertujuan mengehadkan perjalanan orang ramai agar mematuhi PKP.

“Berikutan itu hanya ada satu jalan masuk ke Bandar Bahau iaitu melalui Jalan Bahau - Juasseh sama ada dari arah Kuala Pilah, Tampin atau Batu Kikir,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 9:37 PM