RAMLI pada sidang media mengenai kejayaan JSJN sepanjang tempoh PKP di Bukit Aman, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
RAMLI pada sidang media mengenai kejayaan JSJN sepanjang tempoh PKP di Bukit Aman, hari ini. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


LIMA kes pengedaran dadah secara besar-besaran membabitkan nilai RM7.5 juta ditumpaskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 10 hingga 13 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ramli Din berkata, pengedaran dadah secara besar-besaran mula kembali aktif kerana mempunyai permintaan.

“Pada 10 hingga 13 April lalu iaitu di fasa kedua PKP, terdapat lima kes dadah berskala besar berjaya dilumpuhkan polis.

“Kes berkenaan berlaku di Kuala Selangor, Taiping, Butterworth, Kuala Lumpur dan Bayan Lepas.

“Bagi kes di Kuala Selangor, polis menahan enam individu dengan dadah jenis syabu bernilai RM3.5 juta dirampas,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Ramli berkata, bagi kes di Taiping, Perak pula pihaknya merampas 20 kilogram (kg) heroin dan menahan dua individu.

Beliau berkata, polis turut melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang selepas menahan lima individu dalam tiga serbuan berasingan di Butterworth, Simpang Empat dan Seberang Jaya.

“Selain itu, JSJN turut menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kuala Lumpur yang menyembunyikan 12kg dadah ketamin di dalam kotak kismis.

“Kes kelima berskala besar adalah di Bayan Lepas, Pulau Pinang apabila polis menahan seorang lelaki dan merampas 28kg syabu, 4.5kg heroin dan 1.5kg asas heroin,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP, JSJN berjaya menangkap 3,923 individu di seluruh negara termasuk 208 individu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2020 @ 12:41 PM