PALONG emas dan jengkaut yang digunakan sindiket melombong emas secara haram di Hutan Simpan Aur Gading. FOTO Mohd Rafi Mamat
PALONG emas dan jengkaut yang digunakan sindiket melombong emas secara haram di Hutan Simpan Aur Gading. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


TIGA lelaki termasuk dua warga Indonesia ditahan ketika melombong emas secara haram di Kompartmen 11, Hutan Simpan Aur Gading, Kuala Lipis.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kegiatan mereka dikesan 10 anggota penguat kuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis yang melakukan rondaan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di situ, semalam.

Katanya, Hutan Simpan Aur Gading antara kawasan panas yang sentiasa menjadi tumpuan kegiatan melombong emas haram sama ada dilakukan bersendirian mahupun berkumpulan, dengan membuka tapak baharu atau mengekalkan tapak lama.

“Tiga lelaki berusia 46 dan 47 tahun itu pula mendakwa melakukan aktiviti melombong di kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu menggunakan kaedah palong emas.

“Mereka didapati berkemahiran dalam mencari gali emas dan tidak mustahil kegiatan itu didalangi individu lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya menyita pam menyedut air, palong emas, enjin kuasa elektrik, motosikal dan dua jengkaut yang digunakan untuk kegiatan itu.

Katanya, percaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa ketiga digunakan pihak tertentu untuk menceroboh hutan simpan kerana menganggap tidak akan dikesan pihak berkuasa.

“Sedangkan, anggota penguat kuasa JPNP di semua peringkat tetap meneruskan rondaan dan penguatkuasaan terutama di kawasan panas.

“Buktinya lima kes melombong emas haram berjaya dikesan dalam tempoh itu di Muadzam Shah, Rompin, Raub dan Lipis,” katanya yang memberitahu mereka yang ditahan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta melaporkan kepada pihaknya dan atau PHD terdekat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 2:58 PM