TUJUH kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar.
TUJUH kenderaan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar.
Nurul Hidayah Bahaudin


SEORANG penghantar makanan yang terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 29.9, Lebuhraya Utara Selatan dari arah Plaza Tol Duta menghala ke pusat bandar, parah selepas dilanggar Proton Iswara ketika dia terbaring di lorong kiri lebuh raya itu.

Terdahulu, pada kejadian 11 pagi, mangsa, Muhammad Zulhelmi Zulkefeli, 33, terlanggar lori di depannya menyebabkan dia tercampak ke tengah lebuh raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, empat penunggang motosikal yang berada berhampiran memarkir jentera masing-masing di lorong tengah dan lorong kiri sebelum membantu membawa mangsa ke lorong kiri sekali.

“Pada masa sama, Proton Iswara yang menggunakan lorong paling kiri terlanggar sebuah daripada empat motosikal berkenaan.

“Pemandunya kemudiannya hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang terbaring di laluan terbabit,” katanya pada kenyataan.

Menurut Zulkefly, empat penunggang motosikal, pemandu lori serta pemandu Proton Iswara selamat.

“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2020 @ 3:45 PM