GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


SATU kluster baharu Covid-19 dinamakan warga Jepun antara 31 kluster yang disenarai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat 12 tengah hari semalam.

Berdasarkan data KKM, seramai tiga orang positif virus berkenaan dari kluster terbabit membabitkan daerah Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mereka disahkan sudah pulih dan tiada pertambahan kes positif atau membabitkan kematian kluster Jepun itu.

Sebelum ini, KKM mendedahkan 30 kluster Covid-19 di Malaysia terdiri daripada persidangan gereja di Sarawak membabitkan daerah Kuching, Kota Samarahan dan Serian dengan jumlah kes positif seramai 132 orang serta tiga kematian.

KKM turut menyenaraikan empat kluster membabitkan golongan tabligh iaitu Tabligh Makasar (Sabah), Tabligh New Delhi, Tabligh Pakistan dan Tabligh Makasar (Johor).

Selain itu, kluster majlis perkahwinan Bandar Baru Bangi dan eksekutif antara yang tertinggi dilaporkan menerusi jangkitan kluster berkenaan.

Bagi kluster majlis perkahwinan sebanyak 96 kes dilaporkan dengan 85 daripadanya sudah sembuh, manakala seorang berada di unit rawatan rapi (ICU).

Kluster eksekutif membabitkan lima negeri dengan jumlah jangkitan seramai 121 orang dan dua daripadanya dilaporkan masih berada di ICU.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 1:02 PM