Pemandangan diambil menggunakan dron di Kampung Manjoi kelihatan lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 pada hari ke-23 ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Pemandangan diambil menggunakan dron di Kampung Manjoi kelihatan lengang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 pada hari ke-23 ketika tinjauan. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
BERNAMA

PENGGUNAAN dron oleh pihak berkuasa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga terbukti berkesan dalam memberi hebahan serta peringatan kepada orang ramai agar terus patuh dengan arahan itu bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Mula diperkenal penggunaannya sejak fasa pertama PKP, teknologi itu diguna pakai sepenuhnya oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menyampaikan maklumat selain memantau pergerakan orang ramai.

Dron yang digunakan kedua-dua pasukan ini dilengkapi dengan pembesar suara yang akan menghebahkan pesanan dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Cina dan Tamil, kepada orang ramai agar sentiasa berada di rumah.

Lokasi-lokasi utama penggunaan dron adalah kawasan ‘hotspot’ kes Covid-19 serta lokasi yang dikuat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Simpang Renggam di Kluang, Johor; Sungai Lui di Hulu Langat, Selangor serta sekitar Masjid India di Kuala Lumpur.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, penggunaan dron diteruskan pada fasa ketiga PKP kerana ia berkesan dalam memberi hebahan serta memastikan orang ramai terus mematuhi perintah itu.

“Pengunaan dron memang kita (ATM) teruskan lebih-lebih lagi untuk menentukan kawalan pergerakan ini dipatuhi sepenuhnya,” katanya kepada Bernama.

Affendi bagaimanapun tidak mendedahkan bilangan dron yang digunakan oleh ATM dan PDRM dalam tempoh PKP.

Sementara itu, Ketua Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Superintendan Rasha Azaldin Shafii berkata, penggunaan teknologi dron berkesan dan mencapai objektif terutama dalam aspek memberi hebahan serta peringatan.

Beliau berkata, PDRM ditugaskan untuk bertindak sebagai peneraju dan koordinator pengoperasian dron bagi ATM dan semua agensi swasta.

“Bilangan dron sedia ada dikekalkan dalam penugasan PKP pada fasa ketiga ini dan penugasan dron turut tertumpu di kawasan pasar, taman perumahan dan kampung di seluruh negara,” katanya.

Katanya, pihaknya turut mengambil gambar dan merakam video di lokasi-lokasi penugasan PKP untuk membantu anggota daripada ibu pejabat polis daerah serta ibu pejabat polis kontinjen merancang tugas penguat kuasaan.

Pada 23 Mac lalu, Bernama melaporkan ATM dan PDRM melancarkan penggunaan teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAV) bagi memantau PKP yang dilaksanakan sebagai usaha membendung wabak Covid-19.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dilapor berkata, penggunaan dron membantu penugasan anggota di kawasan zon merah Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 4:13 PM