JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia.
JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melaksanakan majlis akad nikah dalam talian pertama di Malaysia.
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PELAKSAAN akad nikah secara sidang video ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan dilaksanakan di Perlis sekiranya terdapat keperluan yang mendesak.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) Dr Hazman Hassan berkata, jika pihaknya mendapati ia perlu dilaksanakan di negeri itu, ia mestilah berpandukan irsyad fatwa daripada Jabatan Mufti Perlis.

Katanya, antara faktor pelaksanaannya masih belum diguna pakai di Perlis adalah berikutan situasi semasa penularan Covid-19 di Perlis yang masih berada di paras rendah atau sederhana.

“Pelaksanaan akad nikah melalui sidang video adalah perkara yang baik dan boleh mencegah perkara tidak baik antara pasangan bakal pengantin.

“Namun, melihatkan keadaan di Perlis yang masih dikategorikan sebagai zon hijau, kita masih mengguna pakai kaedah sedia ada dengan perlangsungan pernikahan terhad atau hanya dihadiri oleh enam individu iaitu jurunikah, wali, dua saksi bersama dua pengantin,” katanya dihubungi hari ini.

Terdahulu, Selangor mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan akad nikah di negeri itu ketika PKP boleh dilakukan melalui sidang video bermula semalam.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 3:03 PM