GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Joshua Eric


SEORANG nelayan dikhuatiri dibaham sang bedal ketika memukat ikan bersama tiga saudaranya di Sungai Batang Lupar berdekatan dengan kawasan Kampung Tijat di Sri Aman, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitendan Bingkok John berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 2 petang itu membabitkan mangsa, Yanha Mahrat, 29, berasal dari Kampung Tengah.

“Sebelum kejadian, Yanha sedang menarik pukat di bahagian tengah sungai bersendirian dengan kedalaman air ketika itu hanya mencecah paras dada.

“Ketika menarik pukat terbabit, mangsa tiba-tiba telah bertindak menjerit meminta pertolongan daripada tiga saudaranya yang berada tidak jauh dari situ sambil tenggelam dan timbul di permukaan air berkenaan,” katanya..

Menurutnya, mangsa dilaporkan tenggelam dan timbul sebanyak tiga kali di permukaan air sebelum hilang dipercayai akibat ditarik buaya ke dalam dasar sungai itu.

“Kejadian itu kemudiannya dilaporkan di Balai Polis Sri Aman oleh pengadu iaitu Mohamad Nor Suhaili pada jam 3.07 petang sebelum pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) 30 minit kemudian.

“Operasi SAR itu 63 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 7:24 PM