GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Shahrinnahar Latib


SEORANG pensyarah terpaksa menanggung kerugian RM116,349 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula Rabu lalu apabila mangsa lelaki berusia 57 tahun itu menerima panggilan kononnya daripada pihak Telekom Malaysia Centre di Kuala Lumpur.

"Suspek memaklumkan terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan nombor telefon mangsa bagi tujuan judi dalam talian.

"Panggilan itu kemudian kononnya disambungkan kepada pihak polis sebelum mangsa bercakap dengan Inspektor Razak dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban," katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Beliau berkata, suspek kononnya membuat semakan sebelum memaklumkan kepada mangsa bahawa terdapat satu akaun bank didaftarkan atasnya.

"Suspek mendakwa akaun itu digunakan untuk tujuan judi dalam talian dan penggubahan wang haram wang berjumlah RM2.3 juta," katanya.

Katanya lagi, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran bagi mengelakkan dirinya ditahan oleh pihak polis.

"Pada hari yang sama mangsa membuat 14 kali pindahan wang ke dalam dua akaun berbeza dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM116,349.

"Kemudian suspek menyuruh mangsa menunggu tindakan seterusnya oleh pihak polis tetapi sampai semalam mangsa tidak dihubungi oleh lelaki berkenaan. Mangsa yang merasa ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 9:43 AM