Siti Rohana Idris


KEBENARAN diberikan kepada pelajar institusi pengajian tinggi untuk pulang ke rumah keluarga dianggap rahmat buat ibu bapa selepas anak-anak mereka 'terkurung' sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lebih sebulan lalu.

Bagi Vivi Sumanti Che Ahmad, 43, dia berhubung dengan anaknya, Ahmad Shahfaris Amir Ahmad Shukari, 20, yang kini menuntut di Politeknik Ungku Omar (PUO), Ipoh, Perak sejak hari pertama PKP.

Menurutnya, situasi berjauhan dengan anak bukan sesuatu yang janggal, tetapi dia bimbang soal keselamatan selepas berdepan dengan pandemik Covid-19.

"Saya mengucapkan syukur kerana akhirnya anak dapat balik selepas lebih tiga bulan kami tidak berjumpa termasuk sepanjang PKP ini.

"Hati ibu mana tidak risau kerana lebih sebulan dia dan empat rakannya terkurung di rumah sewa dan masak apa yang dibekalkan oleh pihak politeknik sahaja, lebih-lebih lagi sekarang bulan puasa dan mereka makan ala kadar sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Dato Lundang, Kota Bharu, hari ini.

Katanya, sepanjang Ramadan ini dia hanya menghubungi anaknya untuk bertanya khabar tanpa menyentuh mengenai juadah berbuka puasa atau bersahur kerana enggan menyebabkan situasi semakin sedih.

Vivi Sumanti sedang menghubungi anaknya Ahmad Shahfaris  yang kini menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Vivi Sumanti sedang menghubungi anaknya Ahmad Shahfaris yang kini menuntut di Politeknik Ungku Omar, Ipoh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.

Sementara itu, penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Muhammad Izam Abd Aziz, 22, berkata dia tidak sabar untuk bertolak ke kampung halaman di Dungun, Terengganu yang dijadualkan bermula Rabu ini.

Penuntut tahun dua Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif dengan Kepujian (Reka Bentuk Komunikasi Visual) itu sudah mengemas pakaian dan kelengkapan lain sebagai persediaan untuk pulang.

"Sudah 40 hari kami terperangkap dalam kampus dan hanya boleh bertanya khabar keluarga menerusi panggilan video sahaja.

"Apabila menerima berita bahawa kami dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, ia satu rahmat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 8:20 PM