PETUGAS kesihatan memantau pergerakan peniaga dan pekerja pasar sebelum saringan ke atas mereka dibuat di Pasar Jalan Othman. FOTO BERNAMA
PETUGAS kesihatan memantau pergerakan peniaga dan pekerja pasar sebelum saringan ke atas mereka dibuat di Pasar Jalan Othman. FOTO BERNAMA
Raja Noraina Raja Rahim


EMPAT peniaga dan pekerja Pasar Besar Jalan Othman di Petaling Jaya, didapati positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, pihaknya menerima makluman dari makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung perkara berkenaan, semalam.

"Oleh itu, semua peniaga di Pasar Besar Jalan Othman akan disaring termasuk orang awam yang ada mengunjungi pasar berkenaan pada 5 April hingga 18 April lalu.

"Pasar itu akan terus ditutup sehingga semua saringan selesai dijalankan membabitkan seramai 1,500 peniaga dan pekerja," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, lebih 100 peniaga dan pekerja di pasar itu menjalani saringan Covid-19, kelmarin.

Malah, katanya, proses disinfeksi, sanitasi dan nyah kuman juga sudah dilakukan di pasar berkenaan.

Terdahulu, sebanyak empat pasar awam ditutup setakat ini berhubung kait dengan kluster kes di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Pasar yang ditutup adalah Pasar Taman Megah, Jalan Othman, Chow Kit dan Pasar di Bahau.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mei 2020 @ 1:06 PM