TENGKU Razaleigh Hamzah. FOTO arkib NSTP
TENGKU Razaleigh Hamzah. FOTO arkib NSTP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


PEMBERIAN moratorium bererti peminjam dikecualikan penalti, faedah dan bayaran lain.

Ahli Parlimen Gua Musang yang juga bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, bagi institusi perbankan Islam faedah tidak boleh dikenakan malah rancangan untuk berbuat demikian juga dianggap salah.

"Kalau diberi moratorium bererti mesti dikecualikan penalti, faedah dan sebagainya.

"Bagi institusi 'Islamik' bukan saja tidak boleh kenakan faedah malah fikir hendak kenakan faedah pun salah kerana itu bertentangan dengan perundangan syariah," katanya dalam hantaran terkini Facebook, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu moratorium yang menimbulkan kekeliruan masyarakat khususnya mengenai kadar faedah atau keuntungan yang dikenakan berkaitan skim moratorium bayaran balik pinjaman sewa beli yang ditawarkan institusi kewangan.

Sebelum ini, peminjam pinjaman sewa beli yang memilih mengambil moratorium enam bulan dari 1 April hingga 30 September 2020 akan diberi pilihan dari segi pembayaran balik.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam kenyataan berkata, pelanggan boleh memilih untuk membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan bersama ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan caj faedah tambahan.

Mereka juga boleh terus membayar balik ansuran selepas Oktober 2020 menerusi lanjutan enam bulan tempoh pembayaran balik selepas tarikh matang asal.

Hari ini, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyarankan institusi kewangan yang terbabit dalam moratorium mempertimbang agar kadar faedah terakru (bagi pinjaman sewa beli) atau keuntungan (bagi pembiayaan Islam berkadar tetap) sepanjang tempoh enam bulan skim berkenaan dilupuskan.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan sedia bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) dan sektor perbankan bagi memastikan pelaksanaan saranan itu.

Berita berkaitan

Moratorium pinjaman: Menteri saran lupus faedah terakru, keuntungan

BNM tak buat 'u-turn', tapi pelanggan terlepas pandang

BNM kesal orang awam keliru

Pelanggan juga boleh buat 'u-turn'

Isu moratorium, apa yang anda perlu tahu

Peminjam terima notis hari ini

Moratorium: Tiada caj tambahan jika bayar sebelum Jun 2020

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 4:42 PM