AZILA maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh pacuan empat roda. FOTO Ihsan Pembaca
AZILA maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh pacuan empat roda. FOTO Ihsan Pembaca
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WANITA maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh pacuan empat roda polis di persimpangan lampu isyarat di Jalan Raja Syed Alwi - Persiaran Wawasan berhampiran Jabatan Veterinar Perlis, Kangar, tengah hari ini.

Dalam kejadian 1.45 tengah hari itu, mangsa, Azila Che Pa, 31 dari Kampung Ujong Batu, Utan Aji maut di tempat kejadian selepas yang parah pada kepalanya.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, ketika kejadian, pacuan empat roda yang dipandu anggotanya membawa seorang lagi anggota polis bersama dua anggota tentera dari Utan Aji menuju ke Kangar melalui persimpangan lampu isyarat terbabit.

"Bagaimanapun, ketika di persimpangan, motosikal mangsa dari arah Jalan Persiaran Wawasan semasa melintasi simpang lampu isyarat melanggar bahagian kanan kenderaan polis yang datang dari arah Utan Aji menghala ke Kangar.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke laluan bertentangan manakala motosikalnya terseret sejauh 20 meter," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, anggotanya bersama anggota tentera yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 9:14 PM