Nurul Amanina Suhaini


POLIS Daerah Iskandar Puteri yakin menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah susulan tangkapan tiga lelaki di sekitar Bukit Indah, semalam.

Suspek berusia 32 hingga 41 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan antara jam 5 petang hingga 11 malam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, serbuan turut merampas 126 barang dipercayai hasil pecah rumah dengan anggaran nilai rampasan RM10,000.

Katanya, terdahulu Balai Polis Bukit Indah menerima laporan pecah rumah di Taman Bukit Indah, kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu.

"Bertindak atas maklumat, suspek berjaya dikesan dan tangkap Ahad lalu dan siasatan mendapati mereka sudah sebulan aktif melakukan kegiatan jenayah itu di sekitar Iskandar Puteri," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri hari ini.

Dzulkhairi berkata, antara barangan yang dirampas ialah tujuh pembesar suara, empat penapis air, 10 beg pelbagai jenama, 12 alat pengecas mudah alih dan 43 jam tangan pelbagai jenama.

DZULKHAIRI (tengah) menunjukkan barang rampasan pecah rumah pada sidang media yang diadakan di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI
DZULKHAIRI (tengah) menunjukkan barang rampasan pecah rumah pada sidang media yang diadakan di IPD Iskandar Puteri, Johor Bahru. FOTO NURUL AMANINA SUHAINI

Katanya, turut dirampas 18 telefon bimbit, parang, dua kamera litar tertutup (CCTV), empat pemutar skru, tukul besi, tiga televisyen, tiga penyedut habuk pelbagai jenama dan sebuah motosikal Yamaha LC 135.

"Hasil barangan pecah masuk itu dipercayai untuk dijual dan membeli dadah bagi kegunaan sendiri, selain ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek positif methamphetamine dan mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah dan pecah rumah.

"Suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 10 Mei depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 5:13 PM