GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


TIADA kes baharu Covid-19 dilaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) sejak seminggu lalu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif penularan wabak itu kekal 667 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyanathan berkata, kes kumulatif sembuh 474 kes, manakala kematian akibat wabak itu di Johor kekal 18 kes.

"Kita bersyukur apabila Johor merekodkan perkembangan baik dalam pandemik Covid-19 apabila tiada kes baharu direkodkan sejak seminggu lalu hingga hari ini.

"Petanda positif ini hasil daripada kerjasama semua pihak yang memainkan peranan masing-masing, termasuk anda yang kekal berada di rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu hingga semalam, sebanyak 3,537,360 pelitup muka diterima oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor.

"Hingga kini, pengagihan sudah dilakukan merangkumi 90 peratus penduduk Johor iaitu membabitkan 982,600 ketua isi rumah dengan setiap keluarga menerima sebanyak empat unit pelitup muka," katanya.

Katanya, menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor, sebanyak lapan daerah sudah mencapai pengagihan 100 peratus, manakala dua lagi daerah iaitu Johor Bahru dan Segamat, masing-masing sebanyak 98 peratus dan 95 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:03 PM