Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri.
Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri.
Samadi Ahmad


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang memperhalusi tatacara atau Prosedur Operasi Standard (SOP) mengenai solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri berkata, SOP berkenaan sudah dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja selaku Ketua Agama Islam Persekutuan dan negeri untuk diperkenankan.

Beliau berkata, selepas mendapat perkenan YDPA, kerajaan akan mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat berjemaah di masjid.

"Saya tahu ramai umat Islam rindu untuk ke masjid, terutama untuk mendirikan solat Jumaat, solat tarawih dan solat lima waktu.

"Insya-Allah, kita doakan keadaan akan bertambah baik, tambahan pula banyak kawasan hijau Covid-19 di seluruh negara," katanya di laman Facebook (FB) rasminya, hari ini.

Pada 8 Mei lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5 bersidang bagi membincangkan Garis Panduan Solat Jumaat Dalam Tempoh PKPB.

Garis panduan berkenaan disediakan melalui penelitian mufti seluruh negara untuk dipersembahkan dan diputuskan YDPA dan Majlis Raja-Raja Melayu selaku pihak bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 4:55 PM