KETUA Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof. FOTO IHSAN IPD ARAU
KETUA Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof. FOTO IHSAN IPD ARAU
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


POLIS menahan doktor lelaki yang juga pakar sakit puan selepas disyaki terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap bayi lelaki berusia tiga bulan di daerah Arau pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Maarof berkata, suspek berusia 51 tahun itu ditahan pada 10 pagi kelmarin di sebuah klinik pakar swasta di Alor Setar, Kedah.

Menurutnya, penahanan lelaki itu bagi membantu siasatan selepas lima individu termasuk ibu dan keluarga angkat bayi berkenaan ditahan pada Jumaat lalu.

"Kita percaya dia (doktor lelaki) ada menerima wang saguhati daripada keluarga angkat bayi terbabit bagi membantu memudahkan mereka memalsukan dokumen berkaitan kelahiran bayi terbabit.

"Pihak polis juga mengesyaki dia pernah melakukan aktiviti tidak bermoral ini terhadap pasangan lain, namun masih dalam siasatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Arau, hari ini.

Nanda berkata, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dan dokumen berkaitan yang bertulisan tangan bagi membantu siasatan.

"Lelaki itu direman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007," katanya.

Sementara itu, Nanda berkata, lima individu yang ditahan sebelum ini juga disambung reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Jumaat lalu, polis menahan lima individu termasuk pasangan suami isteri kerana terbabit dalam pemalsuan dokumen kelahiran dan pemindahan milikan terhadap seorang bayi lelaki.

Turut ditahan adalah ibu kandung bayi berkenaan berusia 30 tahun dan lelaki berusia 62 tahun disyaki sebagai orang tengah dalam membantu pasangan berusia 37 dan 36 tahun itu bagi mendapatkan bayi berkenaan untuk dijaga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 3:35 PM