Nurul Hidayah Bahaudin


PENDUDUK Taman Sri Murni, Kuala Lumpur yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sebelum ini, bersyukur apabila perintah itu ditamatkan, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Covid-19 Taman Sri Murni Tariq Asyraf Shah berkata, penduduk gembira apabila perintah itu ditamatkan bagi membolehkan mereka bergerak untuk melakukan urusan yang tertangguh sebelum ini.

"Selepas perintah ini ditamatkan, ia membolehkan penduduk untuk keluar bekerja serta melakukan urusan lain termasuk mengambil wang tunai di bank.

"Pada masa sama, penduduk boleh keluar membeli barang keperluan terutama bagi mereka yang beragama Islam untuk membeli kelengkapan hari raya nanti," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tariq berkata, pelaksanaan PKPD di kawasan itu memberikan penduduk pengalaman baharu berdepan dengan cabaran seperti isu pandemik Covid-19.

"Bagi kami (penduduk), pelaksanaan perintah ini adalah satu pengalaman baharu yang jarang-jarang dilalui kerana ia secara tidak langsung memupuk kerjasama antara penduduk.

SEKATAN Jalanraya di laluan menuju ke kawasan perumahan Taman Sri Murni dan Pasar Borong Selangor akhir bulan lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
SEKATAN Jalanraya di laluan menuju ke kawasan perumahan Taman Sri Murni dan Pasar Borong Selangor akhir bulan lalu. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN

"Sepanjang PKPD, hubungan antara penduduk di kawasan ini semakin erat kerana kami berkongsi masalah dan saling membantu dalam pengagihan bantuan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi (Penaja) Persatuan Penduduk Taman Sri Murni Fasa 3 Kuala Lumpur, Puziah Yeop Harun berkata, penduduk lega dengan penamatan perintah itu bagi membolehkan mereka melakukan urusan masing-masing.

"Kami rasa lega kerana perintah ini sudah ditamatkan kerana ada antara penduduk mempunyai urusan tertangguh yang perlu diselesaikan.

"Bagaimanapun, penduduk sentiasa diingatkan supaya terus mengehadkan pergerakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19," katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur yang bermula 20 April lalu ditamatkan hari ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 5:46 PM