Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Mohd Amin Jalil


PERUBAHAN kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak mungkin akan berlaku seperti terjadi di beberapa kerajaan negeri seperti Johor, Melaka dan yang terbaru, Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, beliau yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PH di negeri ini akan terus mempertahankan kerajaan negeri dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei 2018.

Beliau berkata, pihaknya mengakui mendapat makluman berlaku ketidakstabilan kerajaan PH negeri Kedah, tetapi belum tahu keputusannya kerana ia membabitkan Perlembagaan.

"Bagaimanapun bagi Negeri Sembilan, saya yakin dan percaya semua Adun PH akan terus mempertahankan kerajaan sedia ada yang dipilih rakyat. Mereka (rakyat) yang memilih kerajaan PH pada PRU lalu.

"Mereka (Adun PH) bertanding atas tiket PH untuk mendapatkan undi rakyat dan mereka berjaya memenangi kerusi ditandingi atas nama PH.

"Saya yakin Adun PH tidak akan mengkhianati PH khususnya kepada pengundi yang memberikan undi kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan pek makanan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kediaman rasmi Menteri Besar, Seremban, hari ini.

Beliau ditanya mengenai kemelut yang berlaku membabitkan kepemimpinan kerajaan PH Kedah yang mungkin merebak ke Negeri Sembilan, selepas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dikatakan hilang sokongan daripada Adun.

Malah, terdapat desas desus dalam kalangan pemerhati politik tempatan bahawa dikatakan gelombang berlaku di negeri utara itu akan merebak ke Negeri Sembilan apabila didakwa terdapat segelintir Adun PH akan beralih sokongan.

Situasi berkenaan bukan baharu berlaku di Negeri Sembilan, sebaliknya sudah beberapa kali ditimbulkan pihak tertentu sejak tahun lalu dan ia kembali hangat diperkatakan selepas berlaku perubahan pucuk pimpinan di peringkat kerajaan Persekutuan.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada menetapkan syarat dikenakan denda RM10 juta kepada Adun parti itu jika mereka melompat parti, tetapi itu bukan asasnya.

Katanya, pihaknya sedar mereka boleh membayar RM10 atau RM20 juta, tetapi ia tidak sama dengan erti perjuangan.

"Nilai perjuangan sebenar adalah apabila mereka bertanding atas tiket PKR dan mereka harus dengan parti yang membawa kepada kemenangan mereka.

"Selepas lima tahun atau pada PRU akan datang itu terpulang hendak bertanding atas tiket apa..itu terserah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:19 PM