TIMBALAN Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman (kanan) menerima sumbangan bantuan COVID-19 Zakat Pulau Pinang (ZPP) daripada Pengurus Cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Butterworth, Rozali Sapri mewakili Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada majlis penyerahan sumbangan di bangunan ZPP, Bandar Perda. FOTO Danial Saad

Nur Izzati Mohamad

LEBIH 20,000 keluarga miskin di Pulau Pinang termasuk mereka yang terjejas pendapatan disebabkan pandemik Covid-19 menerima bantuan zakat dengan nilai keseluruhan berjumlah RM14.84 juta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, peruntukan yang dikeluarkan itu meningkat satu kali ganda berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Menurutnya, sumbangan yang dihulurkan itu membabitkan Bantuan Zakat Khas COVID-19, Nur Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri terdiri daripada 11 kategori yang ditetapkan.

"Sebelum ini, jumlah penerima zakat hanya dalam lingkungan 10,000 orang tetapi dalam tempoh PKP ini ia meningkat sekali ganda.

"Jangan risau, kita memahami keadaan ini dan menjadi tanggungjawab Zakat Pulau Pinang (ZPP) untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Khas COVID-19 oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) di ZPP di Bukit Mertajam hari ini.

Terdahulu, Pengurus Cawangan PNB Bukit Mertajam Rozali Sapiri menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Amran Hazali.

Sementara itu, Ahmad Zakiyuddin berkata, ZPP akan mempertimbangkan bantuan zakat Covid-19 untuk fasa ketiga bergantung kepada keadaan semasa.

"Untuk bantuan fasa pertama dan kedua, kita sudah melaksanakannya tetapi kita melihat situasi pada masa akan datang sama ada akan ada bantuan untuk fasa ketiga.

"Ini kerana, kita tidak tahu bila Covid-19 akan berakhir apabila dari PKP kini ia bersambung pula kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkemungkinan akan terus berlanjutan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 1:53 PM