Nur Izzati Mohamad

SEMUA peniaga makanan di Pulau Pinang diberi kebenaran untuk membenarkan pelanggan mereka makan di dalam premis susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan dilaksanakan negeri itu sepenuhnya pada Isnin ini.

Ia diputuskan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang bersidang pada Rabu lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga memberi kebenaran untuk makan di premis kepada sektor perhotelan, pusat membeli-belah dan juga rantaian francais makanan segera bermula hari ini.

"Tindakan itu selaras dengan Strategi Pemulihan Berperingkat Pulau Pinang yang mana pada fasa pertama kita beri kebenaran dalam sektor terpilih dahulu.

"Bagaimanapun, pada fasa kedua iaitu Isnin ini kita akan melaksanakan PKPB sepenuhnya maka kebenaran sama akan diberikan kepada semua sektor makanan namun harus diingatkan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya pada sidang media secara siaran langsung di Facebook di Georgetown hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) bersama Exco Kerajaan Tempatan dan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan menyelaras garis panduan perlu bagi disesuaikan kepada kebenaran makan dalam premis pada fasa kedua itu.

"Kita berharap semua pihak dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh PBT.

"Ini kerana kita perlu sentiasa ingat dan berwaspada bahawa pandemik Covid-19 masih lagi di sekeliling kita dan vaksinnya juga masih lagi dicari.

"Walaupun tempoh menangani pandemik Covid-19 adalah satu tempoh paling mencabar, namun pengorbanan itu membuahkan hasil apabila Pulau Pinang kini diklasifikasikan sebagai negeri hijau," katanya.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, cabaran yang lebih besar adalah untuk mengekalkan status negeri hijau itu yang ia dapat dikekalkan jika terus komited dan mematuhi semua SOP ditetapkan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mei 2020 @ 5:23 PM