PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan terhadap pelitup muka yang dijual mahal oleh pengurusan sebuah gedung pakaian di Kubang Kerian. FOTO Ihsan KPDNHEP
PEGAWAI penguatkuasa KPDNHEP Kelantan membuat pemeriksaan terhadap pelitup muka yang dijual mahal oleh pengurusan sebuah gedung pakaian di Kubang Kerian. FOTO Ihsan KPDNHEP
Rosyahaida Abdullah


SEBANYAK 258 kes direkodkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula pada 4 Mei lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, kesalahan paling tinggi dicatatkan adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dengan 142 kes.

Manakala bakinya kata beliau membabitkan lain-lain akta termasuk Akta Timbang dan Sukat 1972 dengan 78 kes serta Akta Kawalan Bekalan 1961 sebanyak 24 kes.

"Secara keseluruhan, sejumlah RM147,250 kompaun dikenakan bagi kesemua kesalahan berkenaan. Ini termasuk juga kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (tujuh kes) dan Akta Perihal Dagangan 2011 (lima kes).

"Kes turut direkodkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 yang mula dikuatkuasakan pada Disember tahun dengan dua kes sepanjang hampir dua minggu tempoh PKPB ini.

"Selain itu, kes pelitup muka turut direkodkan sebanyak dua kes dengan nilai rampasan berjumlah RM6672.50," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Jelas Iskandar, KPDNHEP memandang serius dan memberi amaran kepada semua peniaga supaya mematuhi undang-undang yang dikuatkuasakan terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang termasuk dikenakan kompaun yang tinggi bagi kesalahan tertentu.

"Mereka yang gagal membayar kompaun sebagainya sepatutnya akan dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:20 PM