GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan terhadap golongan berisiko seperti warga emas dan kanak-kanak yang mungkin dijangkiti Covid-19 ketika musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, justeru golongan terbabit perlu diberi perlindungan sepenuhnya bagi mengelak mereka dijangkiti wabak itu.

"Kita terdedah kepada virus setiap kali balik ke rumah, kita mungkin membawa virus itu dan boleh menjangkiti warga emas atau kanak-kanak.

"Itu sebab dalam musim perayaan, KKM bimbang kita mungkin membawa virus pulang ke kampung dan menjangkiti warga emas serta kanak-kanak.

"Apa yang penting kita patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) diberikan KKM iaitu pastikan kita ada penjarakan, sentiasa cuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman dan elak perhimpunan," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham berkata, golongan kanak-kanak yang dijangkiti wabak berkenaan didapati mendapat jangkitan daripada ahli keluarga seperti ibu bapa dan adik-beradik.

Berikutan itu, beliau menasihati golongan dewasa supaya membersihkan diri sebaik pulang ke rumah bagi mengelak penularan jangkitan di rumah.

"Kalau pulang ke rumah pastikan jangan kita sentuh kanak-kanak dulu sebaliknya mandi, cuci tangan atau menggunakan cecair pembasmi kuman sebelum merapati kanak-kanak," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 5:41 PM