GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperhalusi pengumpulan data kes kematian yang ada kaitan dengan jangkitan Covid-19 namun punca kematian bukan disebabkan wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini semua kes positif Covid-19 akan dimasukkan dalam jumlah keseluruhan kes.

"Sekarang ini kita tengah bincang sama ada harus mengambil kira kes positif atau sebab kematian. Sebagai contoh kes bunuh diri, punca kematian akibat bunuh diri tetapi kebetulan dia positif Covid-19.

"Kita akan daftarkannya sebagai kes positif Covid-19 walaupun sebab kematiannya bukan jangkitan Covid-19 tetapi bunuh diri.

"Seperti kes yang kita masukkan hari ini, kes kematiannya disebabkan barah paru-paru peringkat akhir," katanya dalam sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan dan penelitian lebih lanjut oleh KKM.

Hari ini, satu kematian berkaitan jangkitan Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC).

Kes kematian ke-113 (kes ke-6,856) membabitkan wanita warga Malaysia berusia 53 tahun yang mempunyai sejarah penyakit barah dan darah tinggi serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas, 7 Mei lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2020 @ 6:16 PM