KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan di Wakaf Che Yehi yang mengorbankan seorang peniaga ikan, Wan Mohd Isa.FOTO Ihsan PDRM
KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan di Wakaf Che Yehi yang mengorbankan seorang peniaga ikan, Wan Mohd Isa.FOTO Ihsan PDRM
Siti Rohana Idris

PENJUAL ikan maut selepas kereta dipandunya dirempuh kenderaan lain dalam kemalangan di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.15 pagi, mangsa, Wan Mohd Isa Wan Abdullah, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, berdasarkan keterangan saksi, kereta Perodua Bezza hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa.

Menurutnya, kereta Proton Saga dipandu mangsa terbabas sebelum dilanggar sebuah kereta lain di laluan sama.

"Mangsa disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala oleh pasukan perubatan, manakala dua mangsa lain yang cedera dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II)

"Mayat mangsa dibawa ke HRPZ II untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 7:50 PM