VIDEO yang tular di laman sosial dan Whatsapp berhubung dakwaan kononnya kes terbaru positif Covid-19 di Kuala Pilah, namun didapati tidak benar.
VIDEO yang tular di laman sosial dan Whatsapp berhubung dakwaan kononnya kes terbaru positif Covid-19 di Kuala Pilah, namun didapati tidak benar.


VIDEO berdurasi enam saat yang kini tular di laman sosial Facebook (FB) dan aplikasi Whatsapp berhubung dakwaan kes terbaru positif Covid-19 di Kuala Pilah adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya menafikan dakwaan itu susulan sehingga kini tiada kes terbaharu jangkitan positif Covid-19 di Kuala Pilah.

"Video yang tular itu mengambarkan sepasukan anggota perubatan memakai peralatan perlindungan diri (PPE) membawa seorang warga emas dengan kerusi roda di Wisma Sentosa didakwa mempunyai kaitan dengan kes positif Covid-19.

"Ia adalah kes biasa dibawah kawalan Hospital Tunku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan bukannya di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah," katanya ketika dihubungi.

Mohd Faizal turut menasihatkan supaya orang ramai tidak mudah percaya dengan berita yang boleh menguggat keharmonian serta mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat.

"Kes baharu berhubung jangkitan penyakit Covid-19 akan dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan setiap hari dan juga akan dimaklum oleh Pejabat Kesihatan Daerah," katanya.

Sementara itu, menerusi rekod Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan, setakat jam 12 tengahari semalam, tiada kes positif Covid-19 baharu direkodkan di Kuala Pilah, selain tujuh kumulatif kes iaitu satu dimasukkan ke wad, lima kes sembuh serta satu kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 6:17 PM