MyCARE Johor menyampaikan sumbangan kepada 472 keluarga sepanjang PKP. FOTO Ihsan MyCARE Johor
MyCARE Johor menyampaikan sumbangan kepada 472 keluarga sepanjang PKP. FOTO Ihsan MyCARE Johor


MASAK bubur dan makan beramai-ramai mengalas perut. Itu antara pengalaman dilalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MyCARE Johor ketika menyantuni warga asing dalam misi menyalurkan bantuan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 25 Mac hingga 18 Mei lalu.

Pengerusi MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, sepanjang tempoh itu, pihaknya sudah menyalurkan 472 keluarga membabitkan penduduk tempatan dan warga asing dengan memberikan bantuan barangan keperluan makanan.

Beliau berkata, sumbangan itu hanya serahkan bantuan kepada golongan miskin di sekitar Johor Bahru, Kulai, Pasir Gudang, Tangkak dan Muar.

"Kami dapat maklumat mengenai keadaan mereka daripada wakil daerah MyCARE hasil bantuan ketua kampung dan juga media sosial.

"Minggu kedua PKP paling mencabar kerana kebanyakan mereka ini bekerja gaji hari dan terputus punca pendapatan sejak PKP dilaksanakan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Rozi berkata, sepanjang pengalaman menyalurkan bantuan itu, pihaknya mendapati golongan warga asing paling teruk terjejas berbanding penduduk tempatan yang menerima saluran bantuan daripada pihak berkuasa dan NGO.

"Ada pernah kita jumpa, bayi dari keluarga Rohingya diberi susu pekat manis kerana tiada duit untuk membeli susu tepung.

"Bagi kes seperti itu, kita bantu mereka beli susu tepung untuk keperluan bayi berkenaan," katanya.

Katanya, ada 14 fasa misi bantuan yang disalurkan khas daripada sumbangan beberapa NGO, antaranya AlJoud Charity dan Persatuan Amal Permata Takzim, selain bantuan daripada pasar raya Econsave dan restoran makanan segera, Nando's.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 11:04 PM