ANGGOTA polis dan tentera menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas Negeri di susur keluar tol Kajang menghala ke Selatan. FOTO Hazreen Mohamad
ANGGOTA polis dan tentera menjalankan Sekatan Jalan Raya (SJR) Rentas Negeri di susur keluar tol Kajang menghala ke Selatan. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


INDIVIDU yang didapati ingkar larangan rentas negeri akan ditahan dan dikenakan kompaun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihak berkuasa memandang serius larangan rentas negeri terutama perjalanan tanpa kebenaran semata-mata untuk menyambut Aidilfitri.

"Pasukan pemantau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mula menjalankan pemeriksaan di taman perumahan dan kampung bagi mengesan individu yang ingkar.

"Sekiranya tertangkap mereka akan dibawa ke balai polis untuk dokumentasi dan diberi notis kompaun," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, PDRM mengambil tindakan tegas bagi memastikan larangan rentas negeri itu dikuatkuasakan.

PDRM menubuhkan pasukan khas bagi mengesan individu yang melakukan pergerakan rentas negeri tanpa kebenaran untuk menyambut Aidilfitri.

Orang ramai yang ingin melakukan pergerakan rentas negeri perlu mempunyai alasan munasabah dan mendapat kebenaran polis terlebih dahulu.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri dilaporkan berkata, masih ramai yang berminat untuk pulang ke kampung halaman bagi meraikan Aidilfitri meskipun operasi ketat sedang dijalankan.

Jumlah kenderaan yang cuba merentas negeri terus menunjukkan peningkatan lebih sekali ganda kepada 3,212 kenderaan pada Selasa berbanding 1,633 pada Isnin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 1:28 PM