SEBAHAGIAN daripada rokok yang dirampas. FOTO ihsan JKDM Sabah
SEBAHAGIAN daripada rokok yang dirampas. FOTO ihsan JKDM Sabah
Abdul Rahemang Taiming


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sejumlah rokok yang belum dibayar cukai bernilai lebih RM1.28 juta menerusi "Ops Supply Raya" di beberapa lokasi sekitar Tawau, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, rampasan itu susulan beberapa siri serbuan dan pemeriksaan yang dijalankan bermula 24 April lalu sehingga semalam.

Menurutnya, sepanjang pelaksanaan operasi itu, pelbagai jenis dan jenama rokok tanpa cukai kastam dianggarkan berjumlah RM363,364 dengan jumlah cukai sebanyak RM1,288,504.60 berjaya dirampas.

"Bagi kes pertama, sejumlah rokok bernilai RM71,944.00 berjaya dirampas menerusi serbuan di kawasan pesisir pantai Batu 3, Jalan Apas, jam 8 malam pada 9 Mei.

"Sementara itu, rampasan terbesar dibuat jam

4.30 pagi, 15 Mei lalu di sebuah rumah di Kampung Sri Aman, tidak jauh dari lokasi serbuan pertama. Ia membawa kepada penemuan beberapa kotak mengandungi pelbagai jenis dan jenama rokok seludup dianggarkan bernilai RM242,900.

"Seterusnya pada 19 Mei, di lokasi sama iaitu di kawasan pesisir Pantai Batu 3 Jalan Apas, sekali lagi anggota kita berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok membabitkan rampasan bernilai RM36,000," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pada hari sama bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya turut merampas beberapa bungkusan rokok berjumlah RM12,520 yang di sembunyikan di bawah jejantas berhampiran Taman Sawit, Balung, pada 7.10 malam.

Beliau menjelaskan, walaupun tiada sebarang tangkapan dibuat, operasi berterusan yang dijalankan itu antara rampasan terbesar bagi sindiket penyeludupan rokok di daerah ini.

"Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di mengikut Seksyen 135(1)(v)(a) akta yang sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 9:43 AM