X
KENDERAAN melalui Jalan Bandar Gua Musang menuju ke Jalan Kuala Krai sehari sebelum Aidilfitri. FOTO Ramli Ibrahim
KENDERAAN melalui Jalan Bandar Gua Musang menuju ke Jalan Kuala Krai sehari sebelum Aidilfitri. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


SEJUTA kenderaan yang selalu memasuki Kelantan melalui tiga laluan utama termasuk Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli setiap kali menyambut Aidilfitri tidak berlaku tahun ini.

Sebaliknya, laluan itu lenggang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang melarang perjalanan rentas negeri menyambut 1 Syawal esok.

Tinjauan mendapati, laluan masuk ke Kelantan melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Lojing tidak lagi kelihatan kenderaan bertali arus seperti sambutan Aidilfitri lalu.

Ketua Polis daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufik Maidin mengakui kenderaan di jalan raya melalui pintu masuk ke Kelantan di Gua Musang tidak lagi serancak musim perayaan tahun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau, kenderaan yang melalui Jalan Gua Musang-Kuala Lipis untuk menuju ke Kota Bharu ada peningkatan sejak tiga hari lalu tetapi tidak berlaku kesesakan.

"Hanya dalam sesuatu masa kenderaan perantau yang hendak pulang menyambut Aidilfitri di kampung bersesak panjang di sekatan jalan raya di Kampung Tanah Puteh.

"Kita mempertingkatkan pemeriksaan kenderaan di sekatan itu di Kampung Panggong Lalat, Jalan Gua Musang-Lojing bagi memastikan mereka ada surat kebenaran rentas negeri," katanya di Gua Musang, hari ini.

Mohd Taufik berkata, pihaknya juga membuat semakan surat kebenaran dan kebanyakan mempunyai alasan hendak jumpa anak dan isteri di kampung.

Katanya, setakat ini belum ada kenderaan yang diarah berpatah balik kerana semuanya ada surat kebenaran.

"Kita tetap bertegas untuk bertindak demikian jika ada di antara mereka yang gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 1:14 PM