Rondaan Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Terengganu bebas daripada pencerobohan nelayan Vietnam dan kegiatan jenayah lain pada musim perayaan. FOTO APMM
Rondaan Maritim Malaysia bagi memastikan perairan Terengganu bebas daripada pencerobohan nelayan Vietnam dan kegiatan jenayah lain pada musim perayaan. FOTO APMM


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu memperketatkan kawalan menerusi rondaan 24 jam sepanjang Aidilfitri bagi mencegah pencerobohan nelayan Vietnam dan jenayah maritim di perairan negeri itu.

Pengarahnya, Kepten Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pihaknya percaya pencerobohan bot nelayan asing akan meningkat kerana mereka beranggapan tiada penguat kuasaan pada musim perayaan.

Menurutnya, rondaan lebih kerap akan dilakukan bagi memastikan perairan Terengganu tidak dibolosi nelayan Vietnam dan sebarang kegiatan jenayah maritim lain.

"Kita percayai mereka akan mengambil kesempatan unyuk menceroboh perairan negeri ini dan kawalan ketat dilakukan bagi membanteras kegiatan seperti penyeludupan dan pencerobohan nelayan asing.

"Sebanyak empat kapal dan lima bot digunakan untuk membuat rondaan dan pemantauan dengan pembabitan 100 anggota serta pegawai.

"Jika perlu kita akan mendapatkan bantuan aset udara dari Ibu Pejabat APMM untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan aktiviti maritim yang melanggar undang-undang," katanya.

Menurutnya, sepanjang Operasi Covid-19 Khas Laut sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, kira-kira 60 bot nelayan Vietnam diusir dari perairan sempadan negara.

Katanya, tindakan pengusiran dilakukan selaras arahan kerajaan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 kepada rakyat negara ini.

"APMM akan memantau sehingga bot nelayan asing yang diusir terbabit melepasi perairan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 2:32 PM