FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

LAPAN klinik kesihatan (KK) di Terengganu beroperasi seperti biasa pada cuti hujung minggu mulai semalam dan cuti Aidilfitri pada Ahad dan Isnin bagi mengurangkan kesesakan di Unit Kecemasan hospital di negeri itu.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Nor Azimi Yunus berkata, arahan untuk lapan klinik itu beroperasi pada cuti hujung minggu dan Aidilfitri bermula 22 hingga 25 Mei adalah yang pertama kali dilaksanakan.

"Sebelum ini, operasi di klinik kesihatan dihentikan sepanjang tempoh cuti perayaan Aidilfitri.

"Namun, arahan kesiapsiagaan operasi klinik kesihatan ini dibuat selepas mempertimbangkan beberapa faktor terperinci terutama situasi semasa pandemik Covid-19 di Malaysia amnya dan di Terengganu khususnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lapan klinik terbabit ialah KK Padang Luas di Besut; KK Batu Rakit di Kuala Nerus, KK Batu 2 1/2 di Kemaman, KK Rahmat di Setiu, KK Hiliran di Kuala Terengganu, KK Kuala Berang di Hulu Terengganu, KK Bukit Payung di Marang dan KK Kuala Dungun di Dungun.

Nor Azimi berkata, arahan itu juga demi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat tidak terjejas di samping memperkukuh strategi pencegahan dan kawalan penularan Covid-19 dalam komuniti melalui pengesanan awal jangkitan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:23 PM