Pengerusi Sahabat Fasa 3 Taman Saujana KLIA Mohd Saifulrizam Ibrahim (depan kanan baju merah) bersama komuniti taman itu bergotong-royong membakar 255 batang lemang untuk menghidupkan suasana kampung sempena Aidilfitri walaupun tak boleh balik kampung. Ini disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan penularan Covid-19. FOTO Ihsan Mohd Saifulrizam Ibrahim

Amir Abd Hamid

TIDAK dapat balik kampung, bawa balik 'kampung' ke bandar.

Itu alternatif yang dilakukan penduduk Fasa 3 Taman Saujana KLIA (SKLIA), Sepang yang bergotong-royong membakar 255 batang lemang untuk menghidupkan suasana kampung.

Pengerusi Sahabat Fasa 3 SKLIA Mohd Saifulrizam Ibrahim berkata, gotong-royong itu dilakukan secara berhati-hati mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, acara membakar lemang selama 12 jam itu bermula 5 petang semalam sehingga 5 pagi hari ini.

"Kami bertuah kerana mempunyai pakar rujuk lemang dalam kalangan penduduk iaitu Ahmad Faizal berasal dari Lenggong, Perak yang mempunyai resipi lemang turun-temurun keluarganya.

"Apa pun, program lemang Aidilfitri 2020 Komuniti Fasa 3 SKLIA ini bertujuan memupuk semangat kejiranan dan perpaduan dalam kalangan kami," katanya.

Beliau berkata, seramai 65 peserta terbabit dalam program berkenaan yang dilakukan dengan mengekalkan penjarakan sosial dan mengikut SOP PKPB berdasarkan tugasan program dibahagikan kepada tiga kumpulan.

Katanya, idea membawa suasana kampung itu selaras hasrat menyemai budaya gotong royong dan saling membantu dalam kalangan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:56 PM