WEE KA SIONG
WEE KA SIONG
Noor Atiqah Sulaiman


KERAJAAN bersetuju membenarkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memperbaharui Kad Pemandu teksi dengan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan selewat-lewatnya 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, terdapat maklum balas masih ada pihak yang belum menerima bantuan tunai RM600 kerana pelbagai sebab.

"Ini termasuklah kira-kira 30,000 pemandu teksi yang tidak dapat menerima manfaat bantuan berkenaan kerana Kad Pemandu mereka sudah tamat tempoh sah dan luput pada 18 Mac lalu.

"Bagi pemandu teksi yang tidak mempunyai akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), mereka perlu mengemaskini butiran akaun bank mereka melalui semakprihatin.treasury.gov.my dengan memasukkan nombor kad pengenalan (MyKad) mereka.

"Selain itu bagi pemandu yang mengalami masalah bankrap atau muflis, pemandu teksi ini boleh merujuk terus kepada Bahagian Hal Ehwal Undang- undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri atau melayari portal BHEUU untuk tindakan lanjut.

"Saya ingin mengingatkan kepada semua pengusaha pengangkutan awam termasuk pengusaha teksi supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak menjalankan operasi tanpa dokumen yang sah," katanya/

Tambah Wee, wabak Covid-19 turut menjejaskan pengusaha sektor pengangkutan awam apabila jumlah penumpang menunjukkan penurunan ketara susulan pergerakan terhad orang ramai di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Atas dasar itu, Wee berkata ,kerajaan mengumumkan bayaran secara sekali beri sebanyak RM600 kepada pemandu teksi yang berdaftar dengan peruntukan sejumlah RM18 juta bagi Fasa Pertama melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Mac lalu.

"Bantuan yang diberikan adalah bagi meringankan beban pemandu teksi yang terjejas pendapatan disebabkan pelaksanaan PKP yang kini dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Seramai 29,447 pemandu teksi yang memiliki Kad Pemandu sah yang aktif semasa tempoh PKP sudah menerima manfaat bantuan tunai RM600 yang diuruskan pembayarannya oleh Kementerian Kewangan bermula 2 April lalu melalui BSN dan Interbank GIRO (IBG).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 4:30 PM