GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

IBU bapa diingatkan untuk tidak membenarkan anak mereka bermain bunga api atau mercun di kawasan pangsapuri atau kondominium kerana risiko berlaku kebakaran adalah tinggi.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata, tindakan bermain bunga api serta mercun terutama di balkoni atau koridor rumah tidak digalakkan kerana ia boleh mendatangkan bahaya.

"Kalau nak main bunga api di rumah flat dan sebagainya adalah tidak digalakkan. Walaupun tidak ada laporan berhubung kebakaran yang disebabkan oleh perbuatan itu tetapi kita tidak galakkan.

"Kalau nak main pergi ke kawasan terbuka... memang ada tempat lapang untuk anak-anak bermain. Sekarang ini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) jadi dibenarkan di halaman masing-masing," katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau turut menasihati orang ramai supaya menggunakan elektrik dengan berhemah ketika musim perayaan Aidilfitri ini kerana penggunaan berlebihan boleh menyebabkan berlakunya litar pintas.

"Berhati-hatilah dengan pemasangan dan kegunaan perkakas elektrik sebab ketika tempoh PKPB juga penggunaan adalah amat tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hamdan berkata 12,000 anggota JPBM bertugas tahun ini mengikut syif masing-masing sama ada untuk tugasan kecemasan biasa atau sebagai barisan hadapan dalam memutuskan penularan rantaian Covid-19.

"Kita melaksanakan operasi Covid-19 bersama barisan hadapan dalam tugasan termasuk 'bantuan kemanusiaan semasa bencana , pemindahan mangsa, proses sanitasi awam serta pengurusan jenazah.

"Sejak PKP dilaksanakan, kita sudah melaksanakan 9,084 operasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 5:41 PM