MUHAMMAD Afiq Iman (dua dari kanan) bersama Zulkifli (kanan) selepas melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan beliau. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Iman
MUHAMMAD Afiq Iman (dua dari kanan) bersama Zulkifli (kanan) selepas melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan beliau. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Iman


"INILAH detik paling bermakna buat diri. Memeluk Islam adalah pilihan terbaik pernah seumur hidup," kata saudara baharu, Muhammad Afiq Iman Abdullah, 27.

Lelaki yang nama asalnya Jackie Jamior Jepol dan berasal dari Penampang, Sabah itu memeluk Islam pada akhir Ramadan lalu.

Gambarnya ketika melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri di Putrajaya pada 20 Mei lalu turut tular di media sosial.

Muhammad Afiq Iman berkata, niat memeluk agama Islam sudah lama namun masih mencari waktu yang sesuai hinggalah mengambil keputusan meneruskan niatnya itu pada penghujung Ramadan lalu.

"Asalnya mahu memeluk Islam selepas Hari Raya Aidilfitri tetapi selepas difikirkan semula, saya mahu menikmati momen indah ini dalam bulan Ramadan selain hendak merasai Aidilfitri tahun ini sebagai seorang Muslim.

"Saya bersyukur segala urusan serta perjalanan menjadi hamba-Nya dipermudahkan. Keluarga di Sabah menerima keputusan ini dengan berlapang dada asalkan saya tidak melupakan mereka," katanya mesra disapa Afiq.

MUHAMMAD Afiq Iman (tengah) ketika menyambut satu Syawal bersama keluarga angkatnya di Wangsa Maju, semalam. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Iman
MUHAMMAD Afiq Iman (tengah) ketika menyambut satu Syawal bersama keluarga angkatnya di Wangsa Maju, semalam. FOTO Ihsan Muhammad Afiq Iman

Menurutnya, dia tidak berasa kekok memulakan kehidupan selaku saudara baharu berikutan mempunyai ramai keluarga angkat Islam.

Bagaimanapun, anak sulung daripada dua beradik itu menyatakan keputusannya bertukar agama datang daripada hati terbuka menerima Islam dan tiada paksaan pihak lain.

Menurut Muhammad Afiq Iman, dia suka melihat cara kehidupan orang Islam dan keadaan itu sentiasa membuatkan dirinya berasa tenang.

"Apabila bersama keluarga angkat atau rakan-rakan Islam, saya gemar memerhatikan cara mereka solat dan berdoa.

"Seperti ada 'sesuatu' yang menarik hati ini, namun sukar digambarkan dengan kata-kata tetapi saya boleh nyatakan ia adalah ketenangan.

"Saya mahu lebih mengenali dan mendalami Islam selepas ini supaya diri semakin dekat dengan-Nya," katanya yang sebelum ini bekerja di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Ditanya mengenai sambutan satu Syawal selepas bergelar Islam, Muhammad Afiq Iman berkata, sambutan tetap sama disebabkan sudah terbiasa menyambut Hari Raya sebelum ini.

"Persiapan hanya dilakukan sederhana dari segi pakaian sahaja.

"Tahun ini seperti kebiasaan saya tetap menyambut Aidilfitri bersama keluarga angkat di Wangsa Maju," katanya menggemari juadah rendang ayam serta daging di pagi raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2020 @ 8:43 AM